RUU IPCMC dibentang esok dengan 37 pindaan
Bernama
Disember 2, 2019 21:15 MYT
Disember 2, 2019 21:15 MYT
Rang Udang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang telah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan dibentangkan esok dengan 37 pindaan baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata pembentangan itu akan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Mengenai IPCMC, Ramkarpal Singh dengan penambahan 13 pindaan berbanding 24 pindaan sebelum akta itu dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.
"Esok Ramkarpal Singh akan bawa usul itu ke persidangan Dewan Rakyat dan sekiranya diterima oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, maka rang undang-undang itu akan dibuka untuk perbahasan.
"Selepas selesai perbahasan dan jika diterima oleh dewan, Ramkarpal juga akan menggulung dan sekiranya keputusan positif untuk menerima usul, kemudian saya bagi pihak kerajaan akan menerima usul itu dan teruskan dengan Fasal-fasal," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Menurut Liew, ini adalah kali pertama dalam sejarah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu membentang dan menggulung RUU berbanding kebiasaanya dilakukan oleh Menteri atau Timbalan Menteri berkenaan.
Justeru beliau berharap lebih ramai ahli Parlimen akan mengambil peluang untuk membahaskan RUU itu bagi memastikan pandangan rakyat dibawa dalam usul itu.
Oktober lepas, RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
Perkara itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof sebaik diusulkan oleh Liew yang menjelaskan bahawa undang-undang itu tidak digubal secara tergesa-gesa bagi membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghargai setiap pandangan yang diberikan oleh ahli Parlimen.
RUU IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai, dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
-- BERNAMA
#IPCMC 2019
#Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
#Liew Vui Keong
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#Rang Udang-Undang
#RUU IPCMC
#Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis