RUU IPCC akan dibentang pada penggal ini

Ridauddin Daud
Disember 8, 2021 12:19 MYT
Jonathan memberitahu Dewan Rakyat pada Rabu, jaminan itu selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan RUU itu segera dibentangkan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas tertangguh pada tahun lepas, Kementerian Dalam negeri (KDN) memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) akan dibawa ke sidang Parlimen pada penggal ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri 2, Datuk Jonathan Yasin memberitahu Dewan Rakyat pada Rabu, jaminan itu selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan RUU itu segera dibentangkan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH - Pulai) yang bertanya adakah kerajaan akan membawa RUU IPCC ke Parlimen pada penggal ini.
Dalam pada itu, Jonathan menjelaskan, RUU tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen oleh bekas Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri pada 18 Julai 2019.
“Walau bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan pada 1 Mac 2020, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 1 April 2020 telah bersetuju supaya tanggungjawab RUU IPCMC diserahkan kepada KDN dan dibentangkan semula di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
“Susulan dari keputusan MJM tersebut, KDN melalui Jawatankuasa Teknikal telah menjalankan kajian terperinci bagi tujuan penggubalan RUU yang baharu bagi menggantikan RUU IPCMC.
“RUU yang baharu ini dinamakan semula sebagai RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC). RUU IPCC telah dibuat bacaan kali pertama pada 26 Ogos 2020 di Dewan Rakyat,” katanya.
Begitupun, tambah beliau, bacaan kali kedua yang dijadualkan pada 27 Ogos 2020 telah ditangguhkan dan akan dibaca di sidang Parlimen pada penggal ini.
#KDN #IPCC #polis #PDRM
;