RUU Insolvensi (Pindaan) 2020 lulus, kemas kini akta selaras keperluan
Bernama
Ogos 25, 2020 06:00 MYT
Ogos 25, 2020 06:00 MYT
Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2020 yang bertujuan meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata Akta 360 dipinda berdasarkan keperluan tertentu termasuk mentransformasi kerangka perundangan sedia ada kepada perundangan yang lebih relevan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata ia juga bagi mengemas kini akta itu agar selaras dengan perkembangan dan kemajuan perundangan antarabangsa berkenaan insolvensi, tadbir urus korporat dan amalan terbaik dalam insolvensi.
"(Selain itu), mempersiap siaga negara bagi menghadapi sebarang wabak pada masa akan datang atau sebarang bencana yang boleh menyebabkan gelombang krisis ekonomi melanda," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2020 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin berkata rang undang-undang itu akan memberikan kesan positif seperti memberi peluang kepada individu untuk mengukuhkan ekonomi semasa tanpa kekangan yang timbul daripada tindakan kebankrapan bagi merancakkan petumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Ia turut memberi peluang kepada individu dari segi pengurusan kewangan lebih-lebih lagi setelah berhadapan situasi yang tidak dijangka seperti COVID-19, serta mengelakkan pertambahan mendadak kes kebankrapan dalam masa singkat.
Katanya, sejak Akta 360 diluluskan dan disiarkan dalam Warta Persekutuan pada 30 Sept 1967, seksyen 5 (iaitu berkaitan had minimum kebakrapan atau nilai ambang hutang minimum untuk kebankrapan) bagi Akta 360 telah dipinda sebanyak empat kali dan pindaan terakhir adalah pada 2017.
Takiyuddin berkata kini, kerajaan sekali lagi membentangkan cadangan pindaan kepada seksyen 5 Akta 360 untuk menaikkan nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan daripada RM50,000 kepada RM100,000 dan ia sekali gus menjadikan akta itu bersifat lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan dan isu-isu semasa berkaitan insolvensi.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah membuat kajian perbandingan mengenai undang-undang insolvensi di beberapa negara seperti Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Katanya, kebanyakan negara telah meminda undang-undang insolvensi masing-masing bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa untuk mengelakkan pertambahan mendadak kes kebankrapan dalam masa singkat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Semasa sesi penggulungan rang undang-undang itu, Takiyuddin memaklumkan seramai 4,151 individu diisytihar bankrap melibatkan Melayu (2,312); Cina (1,028); India (307); lain-lain kaum (490) serta 14 orang bukan warganegara berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi sehingga Julai tahun ini.
"Jumlah itu membabitkan 3,043 lelaki, 1,103 perempuan serta lima orang tidak pasti, ini mengikut data yang saya (peroleh)," katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
#Akta 360
#Akta Insolvensi 1967
#Dewan Rakyat
#Insolvensi
#Rang Undang-undang Insolvensi
#Takiyuddin Hassan