RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 diluluskan
Bernama
Mac 6, 2025 16:56 MYT
Mac 6, 2025 16:56 MYT
Dr Zaliha berkata RUU itu dapat menyelesaikan masalah birokrasi, serta menghapuskan peraturan, garis panduan dan arahan pentadbiran yang tidak perlu atau lapuk, bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Ringkasan AI
- Dewan Rakyat meluluskan RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 untuk meningkatkan kualiti, kecekapan, dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan.
- RUU ini menekankan penggunaan automasi, AI, dan integrasi sistem untuk mengurangkan tugas manual dan meningkatkan kecekapan tadbir urus.
- RUU ini memperkenalkan sistem penarafan kawal selia dan mekanisme insentif untuk menggalakkan budaya kerja dinamik dan berprestasi tinggi dalam sektor awam.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahaskan 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa ketika membentangkannya untuk bacaan kali kedua berkata RUU itu dapat menyelesaikan masalah birokrasi, serta menghapuskan peraturan, garis panduan dan arahan pentadbiran yang tidak perlu atau lapuk, bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan.
"Kerajaan berpendapat pelaksanaan RUU ini boleh menyelesaikan permasalahan utama yang dihadapi oleh rakyat termasuk yang berkaitan dengan urusan harian, perniagaan serta akses kepada perkhidmatan kerajaan," katanya.
Beliau berkata RUU tersebut menekankan penggunaan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan integrasi sistem, untuk mengurangkan tugas manual yang sering menjadi beban kepada penjawat awam serta membazir masa dan tenaga.
Dr Zaliha berkata RUU itu juga tidak memperkenalkan hukuman kepada penjawat awam yang gagal melaksanakan perubahan, sebaliknya menggunakan mekanisme insentif dan pemantauan secara berkala.
"Tiada penalti atau tindakan disiplin secara automatik terhadap penjawat awam yang tidak mencapai sasaran, sebaliknya prestasi mereka akan diukur dan diberikan sokongan serta sumber tambahan bagi meningkatkan keberkesanan mereka," katanya.
Dr Zaliha berkata jika RUU itu dilaksanakan dengan baik, penjawat awam akan dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih efisien, kerana proses yang tidak perlu akan dikurangkan atau dihapuskan, penggunaan teknologi akan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan dan tugas berulang atau bertindan akan diminimumkan.
Beliau berkata anjakan besar untuk revolusi proses ialah melaksanakan pendekatan Satu Masuk, Satu Keluar ke atas peraturan sedia ada dan memperkasakan perkhidmatan kerajaan melalui model Government as a Platform (GaaP) dan One Door Policy.
Dr Zaliha berkata Fasal 11 RUU itu pula bertujuan untuk memperuntukkan bahawa entiti kerajaan negeri boleh secara sukarela mengemukakan laporan prestasi perkhidmatan kepada Ketua Setiausaha Negara, bagi maksud penarafan selaras dengan prinsip pemisahan kuasa di bawah prinsip federalisme.
Beliau berkata selain itu RUU itu turut memperkenalkan sistem penarafan kawal selia bagi menggalakkan budaya kerja yang lebih dinamik dan berprestasi tinggi dalam sektor awam yang membolehkan setiap agensi kerajaan mengukur prestasi mereka berdasarkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat
#RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025
#Zaliha Mustafa
#kecekapan tadbir urus
#Rang Undang-Undang