RUU Antilompat Parti tidak akan dibentang pada sidang DUN Pahang Mei ini

Astro Awani
Mei 2, 2023 10:15 MYT
WAN ROSDY: Kalau sekiranya cadangan dibuat pembangkang itu baik, kita tidak ada masalah untuk buat perubahan atau pindaan kepada draf RUU antilompat parti itu. - Foto Facebook Wan Rosdy bin Wan Ismail
LIPIS: Rang Undang-Undang Antilompat Parti tidak akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang dijadual bermula pada 8 Mei ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan dibuat susulan pandangan diterima daripada pihak pembangkang supaya pembentangan tersebut ditangguh buat sementara waktu.
Katanya, ia bagi membolehkan cadangan RUU itu dibuat penelitian lanjut.
Tambahnya, pihaknya juga akan menerima cadangan Perikatan Nasional sekiranya ada pindaan kepada draf RUU tersebut, sebelum ia dibentang dan diluluskan.
"Mereka telah meminta kepada kerajaan supaya ditangguhkan sementara waktu untuk dibentangkan, jadi kita terimalah pandangan mereka.
"Mereka ada bagi sebab kenapa minta ditangguhkan. (Iaitu) Untuk diteliti, diteliti lagi, dan mungkin akan bagi cadangan kepada kita.
"Dan kita pula, kalau sekiranya cadangan itu baik, kita tidak ada masalah untuk buat perubahan atau pindaan," katanya selepas hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Sungai Koyan di sini semalam.
Pada 29 Mac lalu, pembangkang di Pahang dilaporkan setuju agar RUU Antilompat Parti dibentangkan di Persidangan DUN yang dijadualkan pada Mei.
Ketua Pembangkang DUN Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencadangkan agar sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak diadakan sebelum persidangan berlangsung.
"Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu pada 27 Mac, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri sedia membentangkan RUU tersebut pada Persidangan DUN terdekat jika mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi.
Pada 12 April lalu, ketika sesi taklimat RUU Antilompat Parti kepada semua Ahli DUN (ADUN), Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, pembentangan RUU itu tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru dan perlu diperhalusi terutama berhubung soal ADUN lantikan.
Pada masa sama, Yang Dipertua DUN Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, RUU itu dijangka dibentangkan pada sidang DUN Pahang yang dijadualkan pada 8 Mei.
Katanya, secara keseluruhannya semua ADUN termasuk dari blok pembangkang tiada halangan untuk perkara itu dibentangkan.
#Rang Undang-Undang #RUU Antilompat Parti #DUN pahang #Wan Rosdy Wan Ismail
;