RUU Antilompat Parti: Tiada alasan lagi, kerajaan dan pembangkang perlu segera bentang di Dewan Rakyat
Madiha Abdullah
Mac 22, 2022 17:53 MYT
Mac 22, 2022 17:53 MYT
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bukanlah perkara baharu kerana ia sudah diperkatakan sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lagi.
Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, seharusnya sudah tiada alasan untuk blok kerajaan dan pembangkang untuk tidak mengambil langkah matang dengan segera membentangkan dan membahaskannya di Parlimen.
Tegas beliau, pembentangan RUU sudah mula dibincangkan sejak 2008 lagi apabila terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari pembangkang menyertai blok kerajaan.
"Hari ini kita masih bincang hal sama... ini saat penting untuk kerajaan dan pembangkang di mana RUU ini perlu dibentangkan segera. Tak ada alasan lain dan Kabinet kena lebih terbuka dalam berbincang tentang macam mana RUU ini boleh diluluskan dalam keadaan matang dan demokratik.
"Dalam Parlimen dan Dewan Rakyat ada jawatankuasa pemilihan khas yang boleh main peranan untuk semak RUU dan draf yang disiapkan menteri dan proses ini penting kerana ia beri hak kepada Ahli Parlimen menyelidik dan mengkaji RUU dan draf yang dibuat menteri terbabit," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI hari ini.
Jelasnya, seharusnya tidak timbul isu pembatalan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang seandainya RUU itu gagal dibentangkan, apatah lagi rakyat sendiri mahukan RUU itu dilaksanakan segera.
"Ada yang cakap kalau kerajaan (Datuk Seri) Ismail Sabri tidak laksana, MoU antara kerajaan dan pembangkang akan dibatalkan tetapi pada saya, ini tidak rasional.
"Kalau dilihat kira-kira tujuh bulan selepas MoU dimeterai, kerajaan Ismail Sabri seharusnya beri penekanan untuk pastikan RUU ini dibentangkan segera.
"Rakyat sendiri mahu ini disegerakan agar sistem pilihan raya lebih matang dan dapat menjamin undi wakil rakyat yang mereka pilih," katanya lagi.
Jika RUU ini tidak dapat dilaksanakan, Fakhrurrazi berkata, dikhuatiri rakyat akan semakin hilang kepercayaan terutama selepas beberapa mesej jelas sudah dihantar pada tiga pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.
"Peratusan keluar mengundi dalam tiga PRN amat rendah. Ini mesej rakyat kepada pemimpin... rakyat nak pemimpin berintegriti, apabila dipilih mereka beri khidmat terbaik bukan membuat percaturan politik demi kepentingan peribadi dan dapatkan kuasa.
"Ini mesej yang sudah jelas sejak PRU14 tetapi saya agak terkilan kerana tiada kesanggupan politik dari pihak kerajaan untuk pastikan ia dibentang dan dibahas segera," tambah beliau lagi.