RUU Antilompat Parti: PH jamin tiga negeri pinda Perlembagaan sebelum PRU15 - Lim Guan Eng

Hasimi Muhamad
Julai 28, 2022 07:34 MYT
Lim Guan Eng berkata, langkah itu bagi membolehkan RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dapat diseragamkan dan dikuatkuasakan di peringkat negeri sebelum PRU15. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan semua negeri di bawah pentadbiran mereka akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri secepat mungkin selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 diluluskan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu bagi membolehkan RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dapat diseragamkan dan dikuatkuasakan di peringkat negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tiga negeri di bawah pentadbiran PH ialah Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
"Semua negeri mesti memakai RUU atau isi kandungan yang sama. Kita tidak mahu lihat ada perbezaan, pertindihan atau pecahan kerana jika ini belaku ia akan menyebabkan kekeliruan.
"Oleh sebab itu perkara ini dibahas supaya mengarahkan semua negeri untuk meminda Perlembagaan sebelum pilihan raya supaya undang-undang sama dapat juga diluluskan dan dikuatkuasakan di negeri masing-masing," katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Membahas lanjut, Guan Eng berharap, negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan juga boleh berbuat demikian sebelum PRU15 bagi mengharamkan pihak yang tidak bertanggungjawab melompat parti.
"PH memberi jaminan bahawa kita akan meminta semua kerajaan negeri PH untuk meminda Perlembagaan negeri masing-masing supaya dapat diseragamkan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Saya harap ini juga boleh diamalkan oleh negeri-negeri di bawah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) termasuk juga di Sarawak," ujar beliau lagi.
#Barisan Nasional #RUU Lompat Parti #Negeri pentadbiran PH #Dewan Rakyat