RUU Antilompat Parti: Langkah perhalus pindaan melalui Jawatankuasa Khas tindakan tepat - Bersih
Nickyson Nyambar
April 11, 2022 23:08 MYT
April 11, 2022 23:08 MYT
KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyambut baik keputusan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk memperhalusi pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas.
Bersih dalam kenyataan pada Selasa berkata, langkah itu bertepatan dan selaras dengan proses pemindaan sesuatu akta terutama sekali yang melibatkan dasar asas kepada kebebasan berpersatuan.
"Bersih menyeru agar Jawatankuasa Pilihan Khas melibatkan sebanyak mungkin pihak berkepentingan agar pindaan dapat diteliti secara meluas dan mendalam.
"Kami berharap pakar-pakar perundangan dan perlembagaan termasuk masyarakat madani dilibatkan sekali supaya semua aspek dapat diteroka dan penyelesaian terbaik dapat diputuskan sebelum ianya dibentangkan," katanya.
Dalam pada itu, bersih turut meminta agar pihak Jawatankuasa Pilihan Khas melaporkan setiap prosiding agar prosesnya lebih telus.
Langkah ini sekali gus menjadi contoh jawatankuasa itu berfungsi termasuk proses demokrasi berparlimen.
"Bersih berbesar hati melihat perbahasan sihat dan mantap daripada 59 Ahli Parlimen daripada semua parti yang menyokong RUU Antilompat Parti ini.
"Perkara relevan dan berkaitan telah dikemukan dan sebarang kebimbangan turut dibangkitkan.
"Penglibatan semua pihak tidak kira dari pakar perundangan, ahli parlimen, peguam serta masyarakat sivil juga menunjukkan bahawa ini menjadi titik tolak dalam pindaan asal yang membawa kepada proses positif ini.
"Ini adalah merupakan kejayaan dari segi kebebasan bersuara, pandangan dan idea," katanya.
Terdahulu, pihak kerajaan dan PH mempersetujui tiga perkara berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan RUU Antilompat Parti di Parlimen pada Isnin.
Melalui usul kerajaan yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, antara syor yang perlu dipersetujui itu termasuk pengkhususan ke atas tafsiran kepada larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti
Ia dipersetujui secara sebulat suara selepas diputuskan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.