RUU Antilompat Parti dibentang sebelum Aidilfitri - Anthony Loke

Astro Awani
Mac 23, 2022 19:33 MYT
Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri dalam mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan hari ini memaklumkan, RUU Antilompat Parti bakal dibentangkan di Dewan Rakyat melalui satu sidang khas pada Ramadan ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi komitmen Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti akan dibentangkan di Dewan Rakyat melalui satu sidang khas pada Ramadan ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) pada Rabu.
“Jadi hari ini kita telahpun mendapatkan kepastian daripada Perdana Menteri berkaitan status pembentangan RUU ini, beliau telah pun memberikan komitmen bahawa beliau akan memanggil sidang khas Parlimen pada Ramadan nanti.
“Selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri dan RUU berkaitan Antilompat Parti itu akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan.
“Jadi bagi kita, selagi pihak kerajaan menunaikan janji untuk membawa RUU Antilompat Parti ke Dewan Rakyat, kita akan tetap mempertahankan atau mengekalkan MoU persefahaman antara PH dan kerajaan,” ujarnya dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.
[TERKINI] Pembentangan RUU | PM bakal adakan sidang khas pada bulan Ramadan
Sementara itu, beliau berkata, terserah kepada kerajaan untuk membawa semula usul melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi.
Ahli Parlimen Seremban itu bagaimanapun memaklumkan, pendirian PH tetap sama iaitu tidak bersetuju dengan usul berkenaan.
BACA: Dewan Rakyat: Usul Kerajaan untuk SOSMA 2012 gagal, 86 berbalas 84 - Speaker
“Kalau mereka nak bawa balik usul itu, terpulanglah kepada kerajaan, tetapi pendirian kita tetap sama. Kita tetap tidak bersetuju dengan usul tersebut, cuma kalau mereka bawa balik dan cukup bilangan, mereka boleh bawa balik, dan kalau ada majoriti lulus, kita tetap akan mengambil pendirian sama, tetapi terserah kepada mereka.
“Apa-apa usul dia kena runding dengan kita dulu, jadi kalau kita boleh cari satu titik persafahaman dan konsensus dan ada perkara boleh ubah atau tambah baik maka baru ia dibentangkan ke Parlimen untuk diluluskan.
“Jadi, itu yang kita maksudkan, syaratnya mesti dirundingkan terlebih dahulu,” tambahnya.
[TERKINI] Usul Berkaitan SOSMA | Terserah kepada kerajaan jika ingin usul semula
Terdahulu, usul Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu berkata, Ahli Parlimen yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.
#Pakatan Harapan #Dewan Rakyat #DAP #RUU Antilompat Parti
;