RUU Antilompat Parti: Blok Pembangkang beri amaran terakhir!
Harits Asyraf Hasnan
Mac 22, 2022 13:02 MYT
Mac 22, 2022 13:02 MYT
KUALA LUMPUR: Blok Pembangkang di Dewan Rakyat hari ini memberi amaran terkahir kepada kerajaan untuk membentangkan segera Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, demokrasi berparlimen di Malaysia ketika ini tidak subur disebabkan oleh hilangnya kepercayaan rakyat terhadap individu yang melaksanakan 'Sheraton Move'.
Malah, katanya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) turut terjejas disebabkan oleh sifat sesetengah pemimpin politik.
"CPI tahun 2018 kita di tempat 61, 2019 di bawah Pakatan Harapan (PH) nombor 51. Sekarang CPI kita kembali kepada tempat 62.
"Kenapa rasuah tinggi? Sebab nak jaga itu, nak jaga ini, jaga kumpulan itu, jaga parti ini, bagi jawatan dan akhirnya rasuah meningkat.
"Lihat pilihan raya di tiga negeri, ratusan juta ringgit kita hilang, sedangkan pilihan raya tidak perlu kalau politik stabil.
"Tiga pilihan raya ini telah memakan belanja yang begitu banyak sbb itu kita lihat CPI makin meningkat kerana demokrasi Parlimen tidak stabil.
"Maka, kita harap bentang segera RUU Antilompat Parti, ini amaran terakhir daripada kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan
(2021) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Turut senada dengan Mohamad Sabu adalah Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) yang berpandangan, pindaan Perlembagaan terhadap isu lompat parti perlu dibentangkan segera.
"Saya tetap merasakan kalau kita bentangkan pindaan Perlembagaan, akan mendapat sokongan dua pertiga.
"Kita minta kepada jemaah menteri, tidak perlu fikir panjang-panjang. Kita ada MoU (memorandum persefahaman) dengan pihak pembangkang.
"Satu perkara untuk tunjuk keikhlasan kita adalah dengan membentangkannya pada waktu ini.
"Kalau tak sempat habis pun kita buat satu sesi khas yang saya percaya ramai dalam kalangan kita ingin berucap dan beri pandangan dan sokongan terhadap RUU ini.
"Kita harap supaya jangan lagi berlaku lompat melompat di masa akan datang, seperti yang dikatakan Kota Raja (Mohamad Sabu), saya sokong dia sebab dia betul... kita tak boleh melompat-melompat ni, memalukan," tegas Nazri.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan sebelum ini menyatakan, menerusi MoU tersebut, RUU itu perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen iaitu sebelum atau pada 24 Mac ini.