RUU Antilompat Parti bertepatan hasrat PH, kerajaan - Majlis Presiden PH
Bernama
Februari 10, 2022 13:57 MYT
Februari 10, 2022 13:57 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang dibawa ke sesi libat urus bersama Ahli-Ahli Parlimen semalam, bertepatan dengan hasrat Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
Majlis PH dalam kenyataan bersama hari ini juga menyebut Perkara 2.4 MoU itu, RUU berkenaan perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac depan.
Kenyataan bersama berkenaan dibuat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, hari ini.
Mesyuarat berkala Majlis Presiden semalam memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi DUN yang ditandingi sejurus selepas senarai calon dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk kerajaan negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, mesyuarat juga bersetuju untuk PH menyediakan siri tawaran di bawah kempen 'Johor Bangkit: Maju, Bermaruah' yang akan diumumkan sebelum kempen pilihan raya bermula, merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik.
MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 Sept 2021 antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan COVID-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
-- BERNAMA