RUU Antilompat Parti: Bersatu pertahan Ahli Parlimen tak berbahas

Hasimi Muhamad
Julai 28, 2022 10:01 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sembilan Ahli Parlimen Bersatu yang tidak menganggotai pentadbiran kerajaan, sebenarnya mahu terlibat dalam perbahasan tersebut tetapi diminta untuk tidak berbuat demikian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertahankan Ahli-Ahli Parlimen mereka yang tidak membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sembilan Ahli Parlimen Bersatu yang tidak menganggotai pentadbiran kerajaan, sebetulnya, mahu terlibat dalam perbahasan tersebut tetapi diminta untuk tidak berbuat demikian.
"Saya mohon kepada mereka supaya bersabar kerana apa yang dikatakan kepada kami ada sesetengah, seolah-olah menggunakan analogi nama bukan-bukan.
"Tetapi hari ini percayalah bahawa daripada semua yang hadir termasuk Ahli Parlimen Bersatu kami mengundi kerana menunjukkan kami adalah kumpulan yang tahu akan undang-undang dan tahu menggunakan segala apa undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.
"Saya berani bercakap di luar Dewan Rakyat sebab saya tidak boleh bercakap dalam Dewan Rakyat, saya menteri... (begitu juga) dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ramai daripada kami ini frontbench. Ini yang menjadi masalah kepada kita," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ditanya mengapa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbahas mewakili parti, Hamzah berkata: "Dia Presiden parti, dan anda mesti ingat biasanya yang berbicara mengenai perkara ini (perbahasan) adalah mereka yang daripada backbench."
Hamzah dalam masa yang sama berharap tidak ada mana-mana pihak mempersoalkan dari parti mana asal seseorang Ahli Dewan Rakyat itu.
Terdahulu, Dewan Rakyat mencatatkan satu lagi sejarah apabila meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.
Sejumlah 54 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik mengambil bahagian dalam perbahasan itu, antaranya mewakili Barisan Nasional (BN), PAS, PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.
#RUU Lompat parti lulus #Barisan Nasional #Bersatu tak bahas RUU #RUU Antilompat Parti