RUU Antilompat Parti antara usul dibentang pada sidang DUN Sarawak - Karim
Fadilah Sulaiman
April 18, 2022 16:13 MYT
April 18, 2022 16:13 MYT
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti antara usul yang akan dibentang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kelak.
Bagaimanapun, menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, ia bergantung kepada keputusan pembentangan RUU itu di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Jika ia (usul Antilompat Parti) akan dijadikan RUU, maka ia akan dibahas (DUN Sarawak) sebab itu saya kata ada beberapa RUU yang menarik.
“Ia mungkin akan dibentang dalam DUN tetapi akan ada beberapa RUU yang menarik akan dibentang tapi saya tidak ada perincian mengenai RUU tersebut tetapi persidangan pada tahun ini sama ada ketika sesi bulan Mei atau November akan menyaksikan RUU yang sangat menarik,” katanyanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika disoal pemberita semasa sidang media Spartan Race 2022 di Bangunan Baitulmakmur 2, Kuching pada Isnin.
Terdahulu Wan Junaidi turut menjelaskan apabila RUU tersebut diluluskan, ia juga perlu mendapat kebenaran Kerajaan Negeri selepas mendapat perkenan daripada ketua negeri menerusi perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong.
Pada 11 April lalu, Dewan Rakyat bersetuju untuk menyerahkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Usul kerajaan itu dikemukakan Wan Junaidi dan dipersetujui secara sebulat suara selepas diputuskan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.