RUU Anti-Lompat Parti kembalikan suara rakyat - Adun Tupong
Afiezul Samit
September 11, 2021 17:44 MYT
September 11, 2021 17:44 MYT
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti di Parlimen akan mengembalikan suara rakyat dalam menentukan sesebuah kerajaan dan tidak lagi terletak pada pendirian wakil rakyat semata-mata, kata Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.
Jelasnya, dalam tempoh tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terdapat banyak perubahan kerajaan yang dipengaruhi perubahan parti di peringkat Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri.
Justeru, Fazzrudin menyambut baik tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membaik pulih sistem demokrasi negara ini melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti di Parlimen.
"Ini (lompat parti) harus dihentikan kerana ia menyumbang ketidakstabilan politik tanah air yang menganggu perancangan jangka panjang sesebuah kerajaan dan juga gerak kerja untuk menyantuni rakyat.
"Dengan adanya RUU ini, ia akan dapat membantu kerajaan sedia ada untuk terus memerintah dan menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat tanpa perlu risau akan pergolakan politik yang boleh menyebabkan sesuatu kerajaan itu tumbang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA: PM umum 7 tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, wujud landskap politik baharu
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tawarkan tujuh transformasi parlimen dan pentadbiran kerajaan yang meliputi pelbagai reformasi institusi dan pindaan perlembagaan termasuklah mewujudkan RUU Anti-Lompat Parti di Parlimen.
Sementara itu, Fazzrudin turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk melibatkan wakil parti pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Katanya ia akan menggalakkan pendekatan ‘whole-of-society’ dalam memulihkan negara dari krisis COVID-19 dan juga ekonomi.
"Ini sejajar dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong yang menekankan pentingnya pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis," ujarnya.
Politik Baharu | Tujuh tawaran transformasi Parlimen & Pentadbiran
Pada masa yang sama, beliau juga berharap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan RUU Pindaan Perlembagaan pelaksanaan Undi18 harus dilaksanakan sebelum 31 Disember disokong semua pihak.
Jelasnya, keputusan ini perlu bagi mempercepatkan proses pelaksanaan Undi18 yang membolehkan golongan berumur 18 hingga 21 memainkan peranan dalam sistem demokrasi negara.