RUU Anti Berita Tidak Benar dibawa ke Dewan Rakyat minggu depan
Harits Asyraf Hasnan
Mac 21, 2018 19:17 MYT
Mac 21, 2018 19:17 MYT
Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar bakal dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat minggu hadapan selepas ia diluluskan oleh Kabinet hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi taklimat bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang akan diadakan dalam tempoh terdekat berhubung RUU tersebut.
Jelasnya, pembentukan RUU itu adalah bertujuan untuk memperuntukkan beberapa kesalahan-kesalahan berhubung dengan penyebaran berita tidak benar dan langkah-langkah bagi mengekang berita tidak benar.
"RUU ini digubal demi kepentingan masyarakat umum bagi melindungi rakyat daripada lambakan berita tidak benar serta menjadi mangsa kepada berita tidak benar.
"Bagaimanapun, RUU ini sama sekali tidak menyekat hak kebebasan bersuara rakyat sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, katanya Kerajaan juga berharap semua pihak menerima baik RUU itu serta tidak mempolemikkan isu itu lagi.
Tambah beliau, RUU itu juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.