RUU Akta Sewaan Kediaman tidak akan dibawa dengan tergesa-gesa ke Parlimen

Bernama
Februari 23, 2022 22:54 MYT
Reezal Merican berkata beliau dalam proses meneliti pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) terhadap RUU berkenaan yang sedang di peringkat mendapatkan pandangan umum. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman tidak akan dibentangkan secara tergesa-gesa di Parlimen selagi tidak melalui proses rundingan dan libat urus yang efektif, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican dalam hantaran di laman sosial miliknya hari ini berkata beliau dalam proses meneliti pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) terhadap RUU berkenaan yang sedang di peringkat mendapatkan pandangan umum.
Menurutnya, beliau menyedari terdapat beberapa komponen dalam cadangan RUU itu yang menjadi perhatian umum.
"Saya menyedari perkara itu. Malah, saya juga berasa tidak senang, malah tidak bersetuju dengan beberapa cadangan awal yang dikemukakan di dalam RUU ini," katanya.
Antara komponen yang dikatakan menjadi perhatian dalam RUU itu adalah penubuhan tribunal bagi menyelesaikan pertikaian antara tuan tanah dan penyewa memandangkan proses mitigasi di mahkamah mungkin melibatkan kos yang tinggi, isu menangani kadar harga sewa yang tidak munasabah dan isu diskriminasi antara penyewa dan pemilik kediaman.
"Kepentingan dan keadilan semua pihak adalah kunci utama dalam penggubalan RUU ini. Teruskan memberi pandangan dan kita sama-sama mahu RUU ini memberi refleksi keadilan dan menjaga kepentingan semua pihak," katanya.
RUU tersebut antara lain bertujuan melindungi kepentingan serta hak penyewa dan pemilik kediaman. Menurut laporan media, RUU berkenaan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada suku ketiga tahun ini.
-- BERNAMA
#RUU Akta Sewaan Kediaman #Rang Undang-Undang #Parlimen #Reezal Merican Naina Merican
;