RUU 355, situasi kem pembangkang antara yang bakal hangatkan Dewan Rakyat

Bernama
Mac 4, 2017 13:20 MYT
Persidangan selama 20 hari hingga 6 April ini akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. - Gambar fail
Persidangan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 mulai Isnin ini, jelas bukan hanya tertumpu kepada usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Malah, tumpuan pasti juga kepada kedudukan kem pembangkang yang dilihat goyang dan kehilangan hala tuju.
Persidangan selama 20 hari hingga 6 April ini akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dengan penuh istiadat di bangunan utama Parlimen, yang sebelum ini menjalani proses pengubahsuaian dan penambahbaikan secara berperingkat sejak 2012.
Persidangan dijadual bermula dengan perbahasan usul menjunjung kasih selama tujuh hari sebelum diwarnai dengan sesi soal jawab kementerian, sesi kamar khas dan perbahasan pelbagai rang undang-undang (RUU).
Pembentangan beberapa rang undang-undang dan pindaan dijangka menarik perhatian persidangan kali ini.
Mengharapkan persidangan berjalan lancar dan teratur, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata: "Kerajaan akan memberi tumpuan dan fokus yang lebih kepada isu-isu dalam RUU.
"Ini termasuk Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) dan undang-undang mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak selain beberapa pindaan lain.
"Kemungkinan akan ada lagi beberapa RUU daripada kementerian-kementerian lain. Semua senarai ini mungkin berubah dan tertakluk kepada Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat," katanya kepada Bernama.
Azalina berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menambah baik Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) dengan antara perkara yang diberi perhatian adalah mereka yang menjadi penjamin khususnya penjamin sosial kepada peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman.
"Kerajaan berpendapat golongan ini tidak sepatutnya dibebankan untuk menjelaskan pinjaman yang diambil pihak lain," katanya.
Bagi cadangan penggubalan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak, Azalina sebelum ini berkata ia akan dibawa ke Parlimen pada sidang Mac untuk bacaan pertama dan kedua selepas Kabinet meluluskan usul berkenaan.
Kertas cadangan itu kini dalam proses draf oleh Pejabat Peguam Negara dan Kabinet juga bersetuju menubuhkan mahkamah khas bagi menangani kes melibatkan akta berkenaan, sekali gus menyelesaikan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak dengan segera.
Dalam pada itu, Azalina berharap setiap Anggota Parlimen memanfaatkan peluang dan ruang diberikan ketika persidangan dengan penuh rasa tanggungjawab kepada rakyat.
"Parlimen adalah institusi tertinggi bagi membincangkan tentang kebajikan rakyat yang diwakili oleh Ahli-Ahli Parlimen dan tempat undang-undang dibahaskan.
"Dalam tempoh 20 hari persidangan semua Ahli-Ahli Parlimen diharap bersama mengambil bahagian dalam membahaskan titah diraja di samping RUU yang akan dibentang nanti. Manfaatkanlah peluang dan ruang yang ada kerana rakyat di luar memerhatikan kita," katanya.
Selaras dengan reformasi Parlimen, Azalina turut berharap semua pihak terlibat termasuk pegawai kerajaan dan pihak media menjaga prestij dewan.
Pada penggal ini, tumpuan turut terarah kepada usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang hebat diperkatakan, namun Azalina enggan mengulas sama ada ia akan dibentangkan pada persidangan kali ini.
Cadangan meminda RUU 355 buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Abdul Hadi pada 24 Nov tahun lepas dan usul pindaan itu dijangka dihuraikan lebih lanjut pada sesi persidangan kali ini.
Turut menjadi tumpuan adalah kegawatan kem pembangkang apabila tahaluf siyasi antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin renggang berikutan pandangan berbeza berkaitan RUU 355 daripada dua lagi sekutu mereka, iaitu DAP dan Amanah.
DAP dilanda krisis dalaman apabila empat wakil rakyat mereka dari Melaka bertindak keluar parti berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa dengan pimpinan parti dan mendakwa DAP telah menyimpang daripada matlamat asal termasuk bekerjasama dengan musuh yang kini Pengerusi PBBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mereka terdiri daripada Anggota Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong.
Pelbagai persoalan kini berkisar kepada hala tuju pembangkang dalam mendapatkan persetujuan mana-mana RUU yang dibentangkan kerajaan atau berlakunya undi belah bahagian sehingga mencetuskan perbalahan, seperti yang berlaku sebelum ini.
Selepas selesai persidangan Dewan Rakyat, tumpuan akan beralih pula kepada persidangan Dewan Negara selama 10 hari dari 17 April hingga 27 April.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #mesyuarat parlimen #pembangkang #perbincangan #RUU 355
;