RUU 355 dijangka dibentang esok
Tan Su Lin
November 23, 2016 13:05 MYT
November 23, 2016 13:05 MYT
Usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat esok.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di Dewan Rakyat sekitar 11 pagi tadi dijangka membentangkan usul berkenaan.
Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian Abdul Hadi kelihatan meninggalkan dewan.
Ditanya pemberita untuk mengesahkan sama ada beliau akan memindanya, Abdul Hadi hanya menjawab ringkas "InsyaAllah, esok.. esok.." sebelum memasuki kenderaannya dan meninggalkan bangunan Parlimen.
Usul berkenaan yang dibuat Abdul Hadi pada 26 Mei lepas itu perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.
Pada asalnya, usul Abdul Hadi itu diletakkan pada nombor empat peraturan mesyuarat pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, namun sehingga hari ini ia belum sempat dibentang atau dibahaskan ekoran kerap kali bertukar nombor giliran.
Justeru hanya tinggal hari ini atau esok sebelum sidang Dewan Rakyat kali ini berakhir untuk tahun ini.
Difahamkan usul Abdul Hadi adalah giliran ke-15, namun Kerajaan boleh memberi laluan kepada usul itu agar dikemukakan lebih awal.