Rutin tahunan, mangsa banjir terpaksa guna sampan tinjau rumah

Bernama
Oktober 9, 2024 13:45 MYT
Misri mendayung sampan untuk meninjau kawasan rumahnya yang masih ditenggelami banjir. - Gambar/ Bernama
KLUANG: Seorang mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam di sini sanggup mendayung sampan ke rumahnya setiap hari bagi memastikan keselamatan kediamannya yang ditenggelami banjir sejak Sabtu lepas.
Misri Salamon, 63, berkata meskipun banjir sudah memasuki hari keempat, namun air yang naik hingga paras pinggang di kawasan kediamannya di Kampung Sungai Linau di sini masih belum surut.
"Selepas beberapa hari, hujan tiada lagi, namun air di kawasan rumah tetap tidak surut. Saya perlu jenguk rumah setiap hari sebab risau ada barangan yang hilang. Pada masa sama perlu ambil pakaian untuk dibawa ke PPS sebagai persalinan.
"Saya perlu gunakan sampan demi keselamatan untuk lihat keadaan rumah. Risau terpijak benda-benda tajam atau ada haiwan berbisa di dalam air," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekitar rumahnya hari ini.
Misri berkata hampir setiap tahun kampung berkenaan akan dinaiki air yang mencecah hingga ke paras lutut.
"Kali ini air naik sangat cepat dan lebih dalam. Sudah masuk hari keempat air masih bertakung, saya bimbang akan jadi banjir termenung," katanya.
Beliau berkata hujan lebat melebihi empat jam pada Sabtu lepas menyebabkan kediamannya dinaiki air sehingga dia sekeluarga terpaksa dipindahkan ke PPS SK Sungai Linau pada keesokan harinya.
Misri berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah itu memandangkan banjir termenung sangat menyukarkan aktiviti harian penduduk.
Pada Isnin lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata taburan hujan yang melebihi biasa sehingga lebih tiga kali ganda dipercayai antara penyebab kejadian banjir di Simpang Renggam.
Beliau berkata pihaknya difahamkan taburan hujan Ahad lepas mencecah 110 milimeter berbanding paras biasa 30 milimeter.
Sehingga kini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata seramai 235 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah ini iaitu di Dewan Kampung Kolam Air dan SK Sungai Linau.
Selain Kluang, daerah Pontian turut terjejas banjir dengan 244 penduduk daripada 69 keluarga dipindahkan ke dua PPS dan Batu Pahat pula 17 penduduk daripada tiga keluarga ditempatkan di satu PPS.
-- BERNAMA
#banjir johor #keselamatan harta #tinjau rumah guna bot #onn hafiz ghazi
;