Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman: 5 mengaku tidak bersalah miliki senjata berbahaya
Fareez Azman
Disember 24, 2018 13:10 MYT
Disember 24, 2018 13:10 MYT
Lima individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan berada di kawasan rusuhan dan memiliki senjata di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 Seafield Subang Jaya 26 November lalu.
Kesemua tertuduh berusia 24 hingga 40 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa melakukan kesalahan itu di antara jam lebih kurang dua hingga lima pagi di kuil berkenaan pada 26 November lalu.
Jika sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua duanya sekali mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Mahkamah menetapkan ikat jamin tertuduh pertama sebanyak lima ribu ringgit manakala tertuduh kedua hingga kelima sejumlah RM6,000 masing masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan setiap tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport mereka.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah.
Kes disebut semula 17 Januari depan.
#kuil sri maha mariamman
#mahkamah
#Mahkamah Majistret Petaling Jaya
#polis
#rusuhan
#Seksyen 148 Kanun Keseksaan Akta 574
#Subang Jaya
#Zhafran Rahim Hamzah