Rusuhan kuil: Lelaki mengaku tidak bersalah atas 3 pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan

Fareez Azman
Disember 24, 2018 13:53 MYT
Tertuduh berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir. - Gambar fail
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman pada November lalu.
Tertuduh berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Mengikut pertuduhan pertama dia didakwa bersama seorang lagi tertuduh dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dihadapan kuiil berkenaan sekitar jam 1.30 tengahari pada 26 November lalu yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa bersama seorang tertuduh melakukan rusuhan bersama 50 individu yang masih bebas dan menghalang laluan kenderaan polis dihadapan lokasi yang sama pada masa dan tarikh yang sama.
BACA: Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman: 5 mengaku tidak bersalah miliki senjata berbahaya
Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa bersama dua lagi tertuduh kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap Sulaiman Abdullah 32 tahun di lokasi sama kira kira jam 12.30 tengahari pada 26 November lalu.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.
Mahkamah menetapkan ikat jamin tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah.
Kes disebut semula 17 Januari depan.
#kuil sri maha mariamman #Mahkamah Sesyen Petaling Jaya #Mohamad Ikhwan Mohd Nasir #Seksyen 186 Kanun Keseksaan
;