Rusuhan kuil: "Cakap senang, tapi polis ada SOP" - KPN

Astro Awani
November 27, 2018 19:45 MYT
Mohamad Fuzi ketika sidang media di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby Subang Jaya hari ini. - BERNAMA
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak bertindak sewajarnya dalam menangani insiden-insiden berhubung kuil Sri Maha Mariamman di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan polis adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan penilaian keadaan semasa.
"Cakap senang, (tapi) tak semudah begitu sebab itu kawasan ibadat. Kalau kita menyerang, nanti kita disalahkan. Kita beri bantuan pun disalahkan. (Dakwaan) Kita lewat sampai dan sebagainya, semua fakta itu tidak tepat. Padahal kita pun dapat maklumat daripada orang awam melalui panggilan telefon,” tegasnya ketika sidang media di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby Subang Jaya, petang tadi.
Katanya, juga tidak logik untuk polis menggunakan water cannon atau asap pemedih mata untuk meleraikan orang ramai ketika insiden berlaku kerana lokasi merupakan tempat beribadat.
BACA: Insiden kuil hanya unsur jenayah, dalang tidak akan terlepas - Tun M
Sebelum itu, Mohamad Fuzi meluangkan masa menziarahi anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah akibat dipukul sekumpulan perusuh.
Beliau berkata, tragedi yang menimpa Muhammad Adib dan seorang lagi anggota keselamatan yang patah tangan ketika memberi bantuan dalam insiden itu, adalah amat menyedihkan.
BACA: Anggota FRU perketat kawalan di Kuil Sri Maha Mariamman
BACA: Kronologi insiden Kuil Sri Maha Mariamman
Ditanya kenapa pihak polis tidak menghalang perusuh yang menyerang One City Mall, Mohamad Fuzi berkata, pusat membeli-belah tersebut terletak agak jauh dari kuil dan perusuh menyelinap ke kawasan yang tidak dikawal polis ketika itu.
"Polis tidak berada 100 peratus di tempat itu, bila kita tidak ada di situ baru dia serang. Bila kita berkawal di situ mereka tidak buat, mereka nampak ada ruang untuk bertindak mereka lakukan (serangan) termasuk serang One City Mall.
"Macam mana nak kami kawal semua kawasan kalua kita tak dapat maklumat khusus?" katanya.
Beliau berkata setakat ini, polis telah menahan 21 orang namun masih ada beberapa individu lagi yang perlu dikenal pasti.
Mohamad Fuzi berharap orang ramai akan bekerjasama membantu polis dalam mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu.
#fuzi harun #Ketua Polis Negara #kuil hindu #kuil rusuhan #kuil sri maha mariamman #kuil subang
;