Rusuhan di UK wajar dijadikan pengajaran kepada Malaysia - Fahmi
Astro Awani
Ogos 7, 2024 17:11 MYT
Ogos 7, 2024 17:11 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi menegaskan rusuhan terburuk dalam tempoh 13 tahun di United Kingdom (UK), yang dipercayai berpunca daripada penyebaran berita palsu anti Islam wajar dijadikan pengajaran supaya kejadian sama tidak berlaku di Malaysia.
Kata beliau, kejadian itu memberi kesedaran kepada negara bahawa masalah penyebaran berita palsu tidak boleh ditangani secara sambil lewa.
"Ini memberikan kita satu kesedaran bahawa kita tidak boleh ambil masalah sebaran berita palsu secara sambil lewa dan kita sudah lihat bagaimana setelah selesai atau tamat pilihan raya umum (PRU) pada 2022, berlaku sebaran yang agak meluas dalam platform media sosial yang agak ekstrem dan bersifat 3R (raja, agama dan kaum).
"Di Malaysia sekurang-kurangnya kita banyak mengadakan perbincangan dengan platform media sosial untuk pastikan mereka juga bersifat proaktif dan membantu untuk mengekang penularan berita palsu terutama berita yang berkait isu 3R," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.
Fahmi menjelaskan, rusuhan itu mencetuskan keganasan serta Islamofobia susulan kejadian tikaman di Southport, utara England pada 29 Julai lalu.
Menurutnya, segalanya bermula gara-gara penyebaran maklumat palsu anti Muslim di media sosial.