Rusuhan bersenjata: Peniaga buah di Singapura diarah berkelakuan baik 3 tahun

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 22, 2022 14:25 MYT
Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rusuhan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan tujuh tahun lalu.
AYER KEROH: Seorang peniaga buah di Singapura terlepas hukuman penjara apabila diarah berkelakuan baik selama tiga tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan tujuh tahun lalu.
Pengakuan bersalah tertuduh, Tan Boon Jin, 25, itu dibuat di hadapan Majistret Mazana Sinin sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan rusuhan bersama beberapa individu yang masih bebas dengan menggunakan senjata hingga mendatangkan kecederaan.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Cheng Baru, Lebuh (AMJ) Melaka pada pukul 9 malam, 2 September 2015.
Justeru tertuduh didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan kerana kesalahan tertuduh yang merusuh menggunakan senjata mendatangkan kegusaran terhadap orang awam.
Peguam, Kent Tan Chiw Teng, merayu hukuman ringan mengambil kira anak guamnya masih muda berusia 17 tahun ketika kejadian selain telah menyesali perbuatan itu.
Anak guamnya juga jelas beliau sedang dalam proses untuk mendapatkan taraf penduduk tetap Singapura dan perlu menyara ibu bapanya yang sudah tua serta mengidap penyakit kronik.
Majistret Mazana, bagaimanapun, kemudian memerintahkan tertuduh dikenakan bon jaminan sebanyak RM1,000 dalam tempoh berkenaan.
Tertuduh akan didakwa semula jika gagal berkelakuan baik dalam tempoh itu.
Boon Jin dijatuhi hukuman itu mengikut Seksyen 173 A Kanun Tatacara Jenayah.
#peniaga buah #Singapura #diarah berkelakuan baik #rusuhan bersenjata
;