Rusuhan Bangladesh: Pesawat AirAsia AK76 bawa rakyat Malaysia tiba di KLIA2

Astro Awani
Julai 23, 2024 17:27 MYT
Proses membawa pulang mereka berjalan lancar, walaupun tertangguh lebih 1 jam daripada yang dijadualkan ekoran proses di kaunter imigresen berjalan perlahan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pesawat AirAsia yang membawa rakyat Malaysia dari Dhaka, Bangladesh telah selamat tiba di Terminal 2, KLIA2, Sepang pada jam 4.56 petang, Selasa.
Seramai 123 orang rakyat Malaysia selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pada Selasa, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka, susulan ketegangan yang berlaku di Bangladesh.
Dari jumlah itu, 80 orang adalah pelajar Malaysia dan selebihnya adalah rakyat Malaysia yang menetap di Bangladesh.
Kesemua penumpang menaiki pesawat itu pada jam 11.23 pagi waktu tempatan (Bangladesh).
[TERKINI] 123 rakyat Malaysia dijangka tiba di KLIA 2 5.10 petang ini
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud turut berada di KLIA2 menyambut ketibaan mereka.
Proses membawa pulang mereka berjalan lancar, walaupun tertangguh lebih 1 jam daripada yang dijadualkan ekoran proses di kaunter imigresen berjalan perlahan.
Lapangan terbang di ibu kota Bangladesh itu dikawal ketat anggota tentera susulan perintah berkurung di seluruh negara itu sejak Sabtu lepas.
[TERKINI] Ketibaan rakyat Malaysia dari Bangladesh
Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lepas susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara Sabtu lepas sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.
#rusuhan Bangladesh #Pesawat AirAsia AK76 #Saifuddin Nasution #KLIA2
;