Rusuhan Bangladesh: Penerbangan bawa pulang 123 rakyat Malaysia selamat berlepas dari Dhaka

Bernama
Julai 23, 2024 06:26 MYT
Penerbangan dijangka mengambil masa tiga jam 55 minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2). - Gambar fail/Bernama
DHAKA: Seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar selamat berlepas pulang dari Dhaka, Bangladesh menaiki penerbangan khas AirAsia pukul 11.05 pagi waktu tempatan.
Berdasarkan pemerhatian Bernama, proses pengungsian mereka melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal Dhaka berjalan lancar, walaupun tertangguh lebih 1 jam daripada yang dijadualkan ekoran proses di kaunter imigresen berjalan perlahan.
Lapangan terbang di ibu kota Bangladesh itu dikawal ketat anggota tentera susulan perintah berkurung di seluruh negara itu sejak Sabtu lepas.
Penerbangan yang disertai delegasi misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh diketuai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin itu, dijangka mengambil masa tiga jam 55 minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2).
Ketibaan mereka akan disambut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Misi berkenaan melibatkan 15 pegawai daripada Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.
Turut serta dalam misi itu wakil Bernama Penolong Editor (Perkhidmatan Berita) Nik Nurfaqih Nik Wil bersama jurufoto Muhammad Izzuddin Abd Radzak.
Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lepas susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang mengorbankan lebih 130 nyawa.
-- BERNAMA
#rusuhan Bangladesh #rakyat Malaysia #selamat berlepas pulang #Dhaka #pesawat AirAsia