Rusuhan Bangladesh: Pelajar Malaysia akan dipindah ke bangunan Suruhanjaya Tinggi - Wisma Putra
Firdaus Azil
Julai 21, 2024 13:30 MYT
Julai 21, 2024 13:30 MYT
PUTRAJAYA: Pelajar Malaysia yang terkesan akibat rusuhan di beberapa bandar di Bangladesh, akan dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka, kata Kementerian Luar.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Wisma Putra berkata, pihaknya sentiasa meletakkan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk pelajar-pelajar tersebut sebagai keutamaan mereka.
Tambahnya lagi, pihak Kementerian memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli-ahli keluarga mereka di Bangladesh.
“Selain menilai dengan teliti akan perkembangan terhadap situasi semasa, Kementerian ini dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk evakuasi, jika perlu.
“Kementerian ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh. Kementerian ini memohon semua pelajar Malaysia agar berhubung dan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.
Wisma Putra berkata, Bilik Operasi telah dibuka di Kementerian dan boleh dihubungi di nombor telefon +603-88874570 atau emel taskforcebangladesh@kln.gov.my
Selain itu Kementerian juga mengingatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati terhadap pihak yang menjanjikan bantuan, dan sentiasa melakukan semakan dengan menghubungi Bilik Operasi.
Kementerian juga, menurut kenyataan itu lagi, menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuat kuasa.
“Kementerian ini memantau rapat situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya lagi.