Rusuhan Bangladesh: “Lega, hari ini boleh tidur lena” - Keluarga pelajar

Ridauddin Daud
Julai 22, 2024 15:30 MYT
Ahli keluarga pelajar yang terkandas di Bangladesh merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang melancarkan pelan evakuasi secepat mungkin. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Keluarga pelajar Malaysia yang terperangkap di Bangladesh meluahkan rasa lega selepas kerajaan menggerakkan pelan evakuasi bagi mengeluarkan semua pelajar negara ini dari negara tersebut.

Ringkasan AI
  • Rasa Lega Keluarga: Keluarga pelajar Malaysia yang terperangkap di Bangladesh meluahkan rasa lega dan berterima kasih kepada kerajaan, terutamanya Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerana menggerakkan pelan evakuasi dengan cepat.
  • Proses Evakuasi Cepat: Proses evakuasi dianggap sangat cepat oleh keluarga pelajar, yang pada awalnya berhasrat menyerahkan surat rayuan pada Isnin tetapi dimaklumkan usaha evakuasi sudah diluluskan dengan penerbangan dijadual tiba pagi esok.
  • Kelegaan Pelajar: Salah seorang pelajar yang sudah pulang ke Malaysia, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, meluahkan kelegaan dan berterima kasih kepada Kementerian Luar serta menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan keselamatan pelajar.

Wakilnya, Mejar Jeneral (B) Nubli Hashim berkata, mereka merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, terutamanya Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana menggerakkan proses tersebut.
Menurutnya, keluarga berpendapat proses itu sangat cepat kerana mereka sebelum ini berhasrat menyerahkan surat rayuan pada Isnin namun dimaklumkan usaha evakuasi sudah diluluskan, dengan penerbangan dijadual tiba pagi esok.
“Kami sangat lega apabila mendengar berita ini. Bolehlah tidur lena setelah tiga empat hari tak tidur lena.
“Lepas ini, insya-Allah petang ini boleh tidur lena. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar dan semua yang terlibat dalam proses ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Putra pada Isnin Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
[TERKINI] Sidang media situasi pelajar Malaysia di Bangladesh
Dalam pada itu, salah seorang pelajar yang sudah pulang ke Malaysia, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul juga meluahkan kelegaan dengan perkembangan terkini itu.
Menurutnya, sejak pulang ke tanah air pada 18 Julai lepas, hanya sehari dia meluangkan masa di kampungnya di Pasir Puteh, Kelantan.
“Saya sangat gembira dan lega. Bila sampai di Malaysia, lebih kurang satu hari sahaja di kampung halaman.
“Kemudian saya ke Kuala Lumpur untuk bincang, mesyuarat dengan keluarga pelajar. Saya memang risau dengan keadaan mereka, fikirkan bagaimana mereka boleh bertahan.
“Saya lega dan berterima kasih kepada Kementerian Luar dan hargai kerjasama daripada semua pihak,” ujarnya lagi.
#rusuhan Bangladesh #pelan evakuasi #keluarga pelajar lega #Mohamad Hasan
;