Rusuhan Bangladesh: KPT sediakan kaunselor, penginapan untuk pelajar, ibu bapa

Ridauddin Daud
Julai 23, 2024 20:16 MYT
Jelas Mustapha, KPT juga menyediakan penginapan buat keluarga pelajar yang baru tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangladesh pada petang Selasa. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyediakan kaunselor untuk semua pelajar dan ibu bapa pelajar yang terperangkap akibat rusuhan di Bangladesh.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kaunselor tersebut akan membantu pihak terlibat terutamanya mereka yang dilihat terkesan dengan insiden tersebut.
Selain itu jelasnya, kementerian juga menyediakan penginapan buat keluarga pelajar yang baru tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangladesh pada petang Selasa.
“Mana-mana pelajar yang memerlukan penginapan sebelum balik ke negeri masing-masing, mohon hubungi kami.
“Ada beberapa lokasi disediakan untuk mempermudahkan urusan mereka.
“Kami juga akan memantau dari masa ke masa, kalau ada keperluan buat mereka untuk kembali atau meneruskan pengajian dalam Malaysia, itu kita akan fikirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut 123 warga Malaysia yang kembali semula ke Malaysia dari Dhaka di Terminal 2 KLIA pada Selasa.
Dalam pada itu, mengambil kira pengalaman terdahulu seperti Arab Spring, Mustapha berkata KPT akan melakukan yang terbaik dalam menangani isu tersebut.
“Saya fikir kita ada pengalaman dulu, semasa krisis di Mesir yang kita panggil Arab Spring.
“Pengalaman itu penting untuk kita aplikasikan. Harap selesai cepat supaya kita boleh hantar semula pelajar di sana, untuk habiskan pengajian,” ujarnya.
Pada masa sama, Mustapha meluahkan rasa lega dengan kepulangan 80 pelajar dari Bangladesh di sebalik kesukaran dihadapi rakyat Malaysia di sana.
#Kementerian Pendidikan Tinggi #Bangladesh #rusuhan #kaunselor
;