Rusuhan Bangladesh: 123 rakyat Malaysia dijangka tiba jam 5.10 petang - Wisma Putra

Ridauddin Daud
Julai 23, 2024 16:31 MYT
Papan Informasi Ketibaan di lapangan terbang pada jam 4.30 petang, menunjukkan pesawat tersebut, AK076 dari Dhaka dijadualkan tiba pada jam 4.51 petang. - Foto Astro AWANI
SEPANG: Kementerian Luar memaklumkan seramai 123 orang rakyat Malaysia selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pada Selasa, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka, susulan ketegangan yang berlaku di Bangladesh.
Kesemua penumpang menaiki pesawat itu pada jam 11.23 pagi waktu tempatan dan kini dalam perjalanan untuk pulang ke tanah air.
Mereka dijangka akan tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 5.10 petang waktu Malaysia.
Begitupun, pemerhatian Astro AWANI di papan Informasi Ketibaan di lapangan terbang pada jam 4.30 petang, ia menunjukkan pesawat tersebut, AK076 dari Dhaka dijadualkan tiba pada jam 4.51 petang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud akan menyambut ketibaan mereka.
“Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa beberapa rakyat Malaysia telah memutuskan untuk kekal di Bangladesh.
“Antara mereka adalah pelajar tahun akhir dan rakyat Malaysia yang bekerja di Bangladesh.
“Mereka yang memilih untuk kekal adalah disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu,” menurut kenyataan daripada Wisma Putra.
Dalam kenyataan sama, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat.
“Suruhanjaya juga sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan, serta memastikan semua rakyat Malaysia di Bangladesh mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka telah menyelaraskan proses ini dengan kerjasama yang rapat daripada Kerajaan Bangladesh,” menurut kenyataan itu lagi.
Kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Bangladesh atas kerjasama baik dalam memastikan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar selamat berlepas pulang dari Dhaka, Bangladesh menaiki penerbangan khas AirAsia pukul 11.05 pagi waktu tempatan.
Proses membawa pulang mereka berjalan lancar, walaupun tertangguh lebih 1 jam daripada yang dijadualkan ekoran proses di kaunter imigresen berjalan perlahan.
Lapangan terbang di ibu kota Bangladesh itu dikawal ketat anggota tentera susulan perintah berkurung di seluruh negara itu sejak Sabtu lepas.
#rusuhan Bangladesh #Wisma Putra #rakyat Malaysia #AirAsia
;