Rusia sambut baik kerjasama pembangunan nuklear - Duta
Bernama
Mei 6, 2015 07:41 MYT
Mei 6, 2015 07:41 MYT
Duta Rusia ke Malaysia Valery N. Yermolov berkata Rusia menyambut baik kerjasama dalam pembangunan loji dan tenaga nuklear.
Beliau berkata Rusia mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu serta pakar-pakar dan teknologinya telah digunakan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia.
"Baru-baru ini, kami membina loji nuklear di Vietnam dan kami tahu bahawa Malaysia juga amat berminat untuk membangunkan industri nuklearnya sendiri.
"Saya ingin menekankan bahawa teknologi Rusia adalah selamat, komprehensif, digunakan oleh banyak negara dan apa yang lebih penting, teknologi kami lebih murah daripada yang ditawarkan negara lain," katanya semasa melawat Wisma BERNAMA di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Yermolov berkata Rusia menaruh harapan untuk meningkatkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan negara itu terutamanya dalam bidang ketenteraan.
Menurutnya setakat ini, Malaysia telah berjaya menggunakan pesawat pejuang Rusia iaitu MiG-29 dan Sukhoi.
"Kita tidak harus menumpukan hanya kepada pembelian senjata dalam perdagangan...oleh itu, kami mempelawa pegawai tentera Malaysia melakukan lawatan ke institusi dan akademi tentera Rusia," katanya.
Dalam pada itu, Yermolov berkata semasa Sidang Kemuncak Asia (EAS) Ke-10 penghujung tahun ini, Rusia akan memberi tumpuan kepada isu-isu seperti mengekalkan kestabilan di rantau Asia Tenggara, tenaga dan makanan.
"Sebagai rakan ASEAN, Rusia akan membincangkan isu-isu utama ini pada sidang kemuncak itu," katanya.