Rusia punyai potensi besar untuk kerjasama dengan IPT Malaysia

Astro Awani
Oktober 17, 2024 17:37 MYT
Rusia mempunyai potensi sangat besar untuk menjalin kolaborasi dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kunjungan delegasi Malaysia ke Rusia membuka lembaran baharu kepada pendidikan tinggi negara untuk melebarkan sayap ke negara terbesar dunia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, ketika kerajaan melahirkan minat untuk menyertai pakatan ekonomi BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), lawatan ke Rusia itu ialah sesuatu yang sangat signifikan.
Beliau berkata, Rusia mempunyai potensi sangat besar untuk menjalin kolaborasi dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.
Katanya, kualiti pendidikan yang baik di kedua-dua negara memudahkan mobiliti pelajar Malaysia-Rusia, selain mampu menarik minat pelajar untuk menyambung pengajian di kedua-dua negara.
"Minat pelajar antarabangsa terhadap pendidikan tinggi Malaysia sudah pasti disebabkan kualitinya yang terjamin di persada nasional dan global dan keakraban kedua-dua negara juga menjadi faktor untuk pelajar Rusia menyambung pengajian di Malaysia.
"Lawatan delegasi Malaysia diketuai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ke Rusia mengesahkan perspektif mengenai kualiti pendidikan tinggi kita yang baik dalam kalangan pemimpin politik dan ahli akademik di sana.
"Apabila pertemuan secara bersemuka dilakukan, banyak sesi perkongsian idea dapat dilakukan, malah menteri (Zambry) diberi penghormatan untuk menyampaikan syarahan umum di St. Petersburg Mining University bersama lebih 400 pelajar dan ahli akademik dari tujuh universiti di sekitar St. Petersburg, selain pertemuan di Saint Petersburg University (SPbU) dan National Research University Higher School of Economics (HSE)," katanya dalam satu kenyataan.
Selain Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pada Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal, dan Kebudayaan (JCESTC), delegasi Malaysia turut disertai wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Digital.
Delegasi Rusia pula diketuai oleh Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi, Valery Falkov.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, banyak kerjasama baharu yang boleh diterokai bersama antara Malaysia dan Rusia.
Katanya, antara inisiatif pendidikan yang dikongsikan delegasi Malaysia ialah penawaran program pendek bersifat micro-credentials.
"Dalam konteks ini, pelajar Rusia boleh mengambil kursus berkaitan di universiti Malaysia dengan tujuan pemindahan kredit sama ada untuk 'upskilling' atau 'reskilling' dan ada program boleh diikuti secara dalam talian.
"Dengan adanya inisiatif dua hala ini diharap akan melonjakkan nama kedua-dua buah negara seterusnya membantu merealisasikan Hasrat KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Pendidikan global," katanya.
#MQA #Rusia #Malaysia #pendidikan
;