Rusia nafikan penglibatan dalam tragedi MH17

Sathesh Raj
Oktober 15, 2015 18:37 MYT
YERMOLOV: Moscow tidak lagi menggunakan peluru berpandu jenis itu sejak 2011. - Foto EPA / FAZRY ISMAIL
Rusia mempertahankan ia tidak terlibat dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia seperti didedahkan dalam laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda (DSB).
Duta besar Rusia ke Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, ini kerana Moscow tidak lagi menggunakan peluru berpandu jenis itu sejak 2011.
Yermolov pada satu sidang media sebaliknya mendakwa tentera Ukraine memiliki lebih 500 peluru berpandu jenis itu.
Beliau berkata, "Pada tahun 2011 peluru berpandu ini sudah tidak diguna oleh tentera Rusia tetapi kita tahu bahawa tentera Ukraine mempunyai 520 peluru berpandu jenis ini."
Beberapa negara anggota pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut sama memiliki peluru berpandu BUK, tambahnya.
"Anda lihat banyak negara bekas Soviet mempunyai peluru berpandu BUK dan bukan sahaja negara-negara ini tetapi juga beberapa ahli pakatan NATO seperti Greece yang mempunyai senjata peluru berpandu BUK," kata Yermolov.
Laporan akhir siasatan DSB yang didedahkan kepada umum pada Selasa antara lain mengaitkan nahas MH17 pada 17 Julai tahun lepas adalah kerana ditembak jatuh peluru berpandu BUK buatan Rusia.
Laporan itu turut mendapati peluru berpandu itu meletup di luar bahagian kiri kokpit pesawat berkenaan, bagaimanapun, pihak yang bertanggungjawab tidak pula dinyatakan.
Sementara itu, Yermolov yang melahirkan rasa kecewa dengan laporan siasatan berkenaan berkata banyak persoalan lain yang tidak dijawab.
Antaranya, semua yang berkaitan dengan penemuan peluru berpandu terbabit seperti lokasi, siapa dan bila ia dijumpai.
Lebih malang, tambah beliau, Rusia tidak mendapat akses kepada kesemua maklumat berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa Rusia akan terus bekerjasama dengan Malaysia dalam sebarang bentuk demi mendapatkan keadilan untuk mangsa.
Pesawat MH17 terhempas semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh, membunuh kesemua 298 penumpangnya.
#buk #DSB #lembaga keselamatan belanda #MH17 #Rusia #Ukraine #Valery N. Yermolov
;