Rusia, Malaysia hasrat tingkatkan jumlah dagangan dua hala

Bernama
Julai 28, 2024 18:50 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Rusia dan Malaysia berhasrat untuk meningkatkan jumlah dagangan dua hala dan membangunkan kerjasama pelaburan, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Ahad.
"Kami telah bercakap tentang keperluan untuk memberi tumpuan sekarang bagi meningkatkan dagangan dua hala, yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini agak lemah... kami terus mengukuhkan rangka kerja undang-undang.
"Pada Mei, kami telah menandatangani perjanjian yang dikemas kini untuk mengelakkan cukai berganda. Ia akan berkuat kuasa tidak lama lagi dan sudah tentu, ia akan membantu perkembangan kerjasama pelaburan kami," kata Lavrov dalam sidang media selepas lawatannya ke Malaysia, lapor Sputnik.
Lavrov berkata beberapa draf perjanjian antara kerajaan berada pada tahap kesediaan yang berbeza-beza, dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mempercepatkan usaha ke atasnya.
Menurut beliau, perbincangan dengan kepimpinan Malaysia adalah bermakna dan konstruktif, di mana kedua-dua pihak mengkaji keseluruhan rangkaian kerjasama dua hala.
-- BERNAMA
#Malaysia #Rusia #Hubungan dua hala #perdagangan
;