Rusia dan China alu-alukan keanggotaan Malaysia dalam BRICS

Syafik Shukri Jalil
Julai 27, 2024 14:09 MYT
Mohamad berkata, Malaysia perlu menunggu lebih kurang satu tahun lagi sebelum keanggotaannya diterima.
VIENTIANE: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Rusia dan China mengalu-alukan pernyertaan Malaysia dalam BRICS.
Bagaimanapun menerusi pertemuannya dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di Vientiane, Laos, Malaysia ujarnya perlu menunggu lebih kurang satu tahun lagi sebelum keanggotaannya diterima.
"Semalam saya duduk di sebelah Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, dan esok dia akan datang ke Kuala Lumpur tetapi dia kata 'let us look at the new arrangement first'.
"Maksudnya biar mereka hadamkan dahulu kemasukan lima negara baharu ini dulu untuk satu tahun, dia kata.
"Tetapi dia mengalu-alukan jika Malaysia berhasrat untuk menganggotai negara atauun kesatuan BRICS ini.
"Negara China memang mengalu-alukannya dan pada masa sama ketika bersama Lavrov, dia mencadangkan kepada saya untuk menghubungi negara-negara Islam yang baru menyertai blok tersebut termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Ethiopia," ujarnya.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media penutup bersama delegasi media Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 yang dihoskan Vientiane yang merupakan pengerusi ASEAN tahun ini.
Pada 18 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia akan melalui proses-proses untuk memungkinkan negara menyertai organisasi antara kerajaan itu.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Pada Januari 2024 pula, negara Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.
#Mohamad Hasan #Malaysia #BRICS #Rusia #China