Rusia dakwa miliki serpihan berbentuk 'parallelepiped' untuk misil BUK
Bernama
Oktober 15, 2015 07:58 MYT
Oktober 15, 2015 07:58 MYT
Rusia tidak lagi menghasilkan serpihan berbentuk kiub dan tali leher kupu-kupu bagi peluru berpandu darat ke udara Buk, iaitu serpihan yang ditemui di dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dan pada tiga mayat kru.
Duta Besar Rusia di Malaysia Valery N Yermolov sekeras-kerasnya menyatakan negara itu tidak lagi memiliki misil jenis kepala ledak 9N314M sejak 2011, iaitu tahun penggunaannya ditamatkan.
"Misil Rusia hanya mengandungi bentuk serpihan jenis 'parallelepiped'.
"Serpihan yang ditemui di dalam pesawat itu adalah jenis yang digunakan oleh pihak pemberontak di kawasan konflik," kata Yermolov pada sidang media di Kedutaan Rusia di sini pada Khamis.
Beliau berkata malah Laporan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) menyatakan serpihan misil yang menjatuhkan MH17 adalah jenis lama.
Yermolov menjelaskan misil jenis itu yang dinyatakan di dalam DSB, dibuat pada 1986 ketika peperangan dengan tentera Kesatuan Soviet dan mempunyai jaminan selama 25 tahun.
Duta itu mendakwa banyak negara bekas Kesatuan Soviet termasuk sebahagian anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti Greece, juga mempunyai misil BUK yang sama.
"Ini bermakna misil BUK jenis itu bukan sahaja dimiliki Rusia, tetapi juga bekas negara Kesatuan Soviet," katanya.
Menurut beliau, laporan DSB itu tidak menjejaskan hubungan antara negara itu dengan Malaysia serta negara yang terlibat dalam penyiasatan MH17.
Katanya Rusia akan terus bekerjasama dengan Malaysia melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mencari keadilan kepada mangsa nahas.
Pada Selasa lepas, DSB merumuskan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara ketika terbang pada ketinggian 33,000 kaki merentasi kawasan bergolak di timur Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru pada 17Julai tahun lepas.
BACA: MH17: Pemberontak Ukraine tolak hasil siasatan Belanda