Rupanya Nurul Ashikin hamil anak kembar - Keluarga mangsa kemalangan terkejut
Vivi Sumanti
Oktober 29, 2019 20:02 MYT
Oktober 29, 2019 20:02 MYT
Keluarga anggota polis yang maut bersama isteri dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur terkejut apabila mengetahui isteri mangsa sedang hamil anak kembar.
Mangsa, Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, dan isteri, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika mahu ke tempat kerja jam 7.59 pagi tadi.
Kakak mangsa, Nur Azmawati Shamsuddin, 37, berkata, keluarga mengetahui Ashikin mengandung anak kembar hasil bedah siasat ke atas jenazah kira-kira jam 1 petang tadi.
Katanya, usia kandungan sudah masuk dua bulan dan adalah anak kedua pasangan itu yang sebelum ini sudah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Arfan Ziqri, 1 tahun 10 bulan.
"Keluarga memang terkejut sebab kami belum dimaklumkan tentang kandungan arwah, mungkin sebab usia kandungan masih awal.
"Namun saya dimaklumkan adik beradik yang berada di Kuala Lumpur, mereka turut menemui buku merah jambu dalam beg tangan Asyikin," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Nur Azmawati berkata, arwah adiknya, Syakiran juga mempunyai kembar sama jantina iaitu Muhammad Syakirin, 30 yang tinggal di kampung dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak.
Tambahnya, lebih memilukan, ahli keluarga mereka yang berada di Kuala Lumpur baru sahaja berkumpul beramai-ramai di rumah pasangan suami isteri itu di kuaters polis tempat adiknya bekerja kerana adik bongsu mereka, Muhammad Nazrul Shamsuddin, 19 berada di rumah Syakiran untuk berjalan-jalan di Kuala Lumpur selama beberapa hari.
"Arwah dan isteri baru menghantar Nazrul menaiki bas malam tadi dan Nazrul tiba di Kelantan jam 7 pagi sebelum tidak lama selepas itu keluarga di kampung menerima berita mereka maut dalam kemalangan," katanya.
Menurutnya lagi, ketika ini keluarga dimaklumkan jenazah kedua mangsa akan dibawa pulang menaiki van unit forensik polis dan jenazah adiknya sedang dimandikan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala arwah isteri beliau dimandikan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Sebaik selepas dikapankan, kedua jenazah akan segera dibawa pulang dan kami jangka paling awal sampai selepas Isyak nanti," katanya.
Tambahnya, jenazah suami isteri itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Repek Hilir, di sini.
#hamil anak kembar
#HKL
#Hospital Kuala Lumpur
#jenazah
#kemalangan di Jalan Syed Putra
#Muhammad Syakiran Shamsuddin
#Nurul Ashikin Kamaruddin