Rupanya ada mayat rentung di bawah sisa kebakaran bot mewah dua tingkat di Langkawi
Adie Sufian Zulkefli
Jun 7, 2019 08:00 MYT
Jun 7, 2019 08:00 MYT
Seorang lelaki ditemui rentung di bawah sisa kebakaran di dalam sebuah bot mewah dua tingkat di Bukit Malut, Langkawi, lewat petang Khamis.
Mayat lelaki warga Indonesia yang berusia 29 tahun itu ditemui selepas operasi mencari mangsa terakhir dilakukan apabila mangsa dilaporkan hilang sejak berlakunya kebakaran pada Rabu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Kanan Bomba Mohamadul Ehsan Mohd Zain, mayat mangsa ditemui pasukan pengesan anjing (K-9) kira kira jam 7.15 malam Khamis.
Tambah Ehsan, dalam operasi yang disertai pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi serta Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra itu, tiga unit jentera bomba digunakan bersama sebuah jentera tangki bagi melakukan operasi pemadaman api dan pencarian mangsa yang hilang.
Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.
Sebelum itu dalam kejadian sekitar jam 2.55 pagi Rabu, sebuah bot yang diletakkan di kawasan pembaikan bot di Bukit Malut musnah dalam kebakaran.
Dalam kejadian tersebut, selain seorang yang ditemukan rentung, empat lagi warga Indonesia termasuk seorang wanita mengalami sesak nafas.
Kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Langkawi bagi mendapatkan rawatan.
#bomba
#hilang
#Hospital
#Indonesia
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#kebakaran
#Langkawi
#Malaysia
#mangsa
#operasi
#siasatan
#wanita