Runtuhan tebing: Pihak pengurusan diminta buat kajian terperinci - JBPM

Hasimi Muhamad
September 8, 2024 14:45 MYT
Hasil pemantauan JBPM setakat pagi tadi mendapati masih berlaku rekahan berhampiran lokasi kejadian runtuhan tebing sungai - Foto Ihsan JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor meminta pihak pengurusan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) di Taman Mas, Puchong, Selangor membuat kajian terperinci sebelum kebenaran diberikan untuk memulakan semula pembinaan.

Ringkasan AI
  • Kajian Terperinci Diperlukan: JBPM Selangor meminta pihak pengurusan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) di Taman Mas, Puchong, untuk membuat kajian terperinci sebelum memulakan semula pembinaan kerana masih terdapat rekahan berhampiran lokasi runtuhan tebing sungai.
  • Pemantauan dan Keselamatan: Lokasi kejadian runtuhan adalah terkawal dan semua pekerja berjaya menyelamatkan diri. JBPM Selangor akan terus memantau kawasan tersebut secara berkala untuk memastikan keselamatan.
  • Penghentian Sementara Pembinaan: Gamuda Berhad menghentikan sementara semua kerja pembinaan di tapak projek untuk menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan selepas kejadian runtuhan yang menyebabkan kawasan pembinaan tenggelam sedalam 19 meter.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata hasil pemantauan pihaknya setakat pagi tadi mendapati masih berlaku rekahan berhampiran lokasi kejadian runtuhan tebing sungai.
Bagaimanapun, beliau menegaskan lokasi kejadian adalah terkawal dan punca kejadian masih dalam siasatan.
"Apa yang kita lihat kesan daripada pergerakan itu masih terdapat rekahan-rekahan di sekitar kawasan berlakunya runtuhan semalam (Sabtu).
"Ia memerlukan siasatan daripada pakar, dan kita nasihatkan kepada pihak pengurusan supaya mereka mematuhi dan membuat siasatan secara terperinci sebelum memulakan semula pembinaan tersebut.
"Insiden seperti ini kita akan buat pemantauan berkala. Semalam dapat panggilan 4.48 petang dan kita telah hadir dengan Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya ke lokasi, dan kita telah membuat pemantauan dengan membantu dari segi menyelamatkan pekerja-pekerja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Ahad.
Ahmad Mukhlis menambah semua pekerja yang berada di lokasi kejadian berjaya menyelamatkan diri.
Dalam masa sama, beliau berkata satu lagi pasukan dihantar ke lokasi kejadian hari ini bagi memantau sekiranya berlaku runtuhan kedua.
"Namun begitu kita dapati tiada yang major (besar), cuma masih ada lagi rekahan-rekahan akibat daripada pegerakan semalam dan kita masih memantau secara berkala," ujarnya lagi.
Pada Sabtu, Gamuda Berhad dalam kenyataan memaklumkan semua kerja pembinaan di tapak projek bekalan air itu dihentikan sementara bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.
Tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) dilaporkan runtuh menyebabkan kawasan pembinaan itu tenggelam sedalam 19 meter.
#tebing runtuh #Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau di Taman Ma #Ahmad Mukhlis Mukhtar #JBPM Selangor
;