Runtuhan susulan berlaku di kaki Gunung Kinabalu

Sinar Harian
Jun 24, 2024 17:41 MYT
Pasukan bomba melakukan pemantauan di Sungai Mesilau berhampiran Mesilau Nature Resort, Kundasang, Ranau. -Foto Sinar Harian
RANAU: Tanah runtuh yang berlaku di Gunung Kinabalu pada Ahad, membawa kepada runtuhan susulan di kawasan kaki gunung ulu Sungai Mesilau pada awal pagi Selasa.
Runtuhan kecil yang berlaku pada jam 8.50 pagi itu menyebabkan warna air berubah menjadi keruh di sungai tersebut.
Penguasa Taman Kinabalu Sub-Stesen Mesilau, Suhaimin Dusilin berkata, susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Gunung Kinabalu pada Ahad menyebabkan satu lagi runtuhan kecil di Mesilau.
"Namun keadaan landskap sungai tidak berubah cuma airnya berubah warna menjadi keruh.
"Setakat ini, paras air sungai juga dalam keadaan normal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Talib berkata, pihaknya sekali lagi membuat pemantauan di Sungai Mesilau berhampiran Mesilau Nature Resort.
"Pihak bomba juga mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung yang berhampiran kawasan Sungai Mesilau.
"Air sungai masih mengalir seperti biasa cuma sedikit berlumpur," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan Gunung Kinabalu, pada awal pagi Ahad dan video mengenainya turut tular di media sosial. -Sinar Harian
#Gunung Kinabalu #tanah runtuh #kaki gunung ulu Sungai Mesilau #runtuhan susulan
;