Runtuhan struktur: Salah seorang mangsa dibenarkan pulang selepas rawatan

Fareez Azman
Februari 15, 2020 17:20 MYT
Runtuhan sebahagian struktur binaan di Taman Desa pada Jumaat mengakibatkan dua mangsa terperangkap sebelum berjaya dibawa keluar. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan memaklumkan salah seorang mangsa kejadian runtuhan struktur bangunan di Taman Desa pada Jumaat, yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur telah dibenarkan pulang.
Sementara itu, seorang lagi mangsa masih menerima rawatan di Hospital yang sama.
"Kedua-dua mangsa tersebut telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya. Seorang mangsa masih dirawat di hospital dan seorang lagi telah dibenarkan pulang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP). Orang ramai diminta untuk tidak menularkan perkara yang tidak benar dan tidak tepat berhubung kejadian bangunan runtuh ini," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Dalam kejadian pada Jumaat kira-kira jam 3.30 petang itu, sebahagian struktur binaan di Taman Desa runtuh dan mengakibatkan dua pekerja warga Bangladesh terperangkap.
Mangsa pertama berjaya dibawa keluar jam 5.15 petang (Jumaat) manakala mangsa kedua dibawa keluar dengan selamat jam 9.30 malam hari yang sama.
BACA: Kenakan tindakan tegas atas kecuaian hingga struktur kondominium runtuh - NIOSH
BACA: Mangsa kedua berjaya dikeluarkan dari runtuhan
#Bangladesh #Datuk Seri Mazlan Lazim #Hospital #keselamatan #Ketua Polis Kuala Lumpur #Kuala Lumpur #runtuhan #Struktur #Taman Desa
;