Runtuhan kuari: Operasi kesan, keluarkan 2 mangsa dijangka ambil masa lebih seminggu lagi

Abd Razak Mohd Ali
Mac 14, 2022 17:49 MYT
Pasukan penyelamat belum menggerakkan Unit Anjing (K9) kerana keadaan muka bumi lokasi kejadian masih lagi agak berbahaya untuk unit berkenaan masuk. - Gambar/ Bernama
IPOH: Kerja-kerja mengesan dan mengeluarkan dua mangsa runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, dijangka memakan masa lebih seminggu lagi.
Buat masa ini, kerja-kerja mengalihkan bongkah batu besar masih diteruskan untuk membuka laluan ke lokasi mangsa dipercayai tertimbus.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penguasa Bomba Umrani Che Mat berkata, sebanyak tiga buah jengkaut digunakan dalam operasi tersebut.
"Satu jengkaut untuk buat pengalihan batu, satu lagi adalah untuk memecah batu-batu besar dan jika terdapat batu yang besar daripada saiz yang boleh kita boleh pecahkan, kita akan gunakan gerudi untuk buat kerja letupan sikit.
"Mengenai kedudukan mangsa, kita jangka setakat ini, ada lebih kurang 20 meter lagi dari laluan yang kita tengah buka sekarang. Jadi kita jangka, untuk sampai lagi 20 meter itu berkemungkinan dalam dua tiga hari lagi.
"Seterusnya jika keadaan cuaca mengizinkan, kerja-kerja untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa (jika berada di lokasi yang dipercayai itu) dapat dilakukan dalam masa lebih seminggu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tragedi | Bukit Batu Kapur runtuh, dua selamat, dua masih hilang
Menurutnya, keadaan cuaca ketika ini merupakan cabaran utama pasukan penyelamat kerana kerap hujan pada sebelah petang.
Katanya, pasukan penyelamat juga belum menggerakkan Unit Anjing (K9) kerana keadaan muka bumi lokasi kejadian masih lagi agak berbahaya untuk unit berkenaan masuk.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi Selasa lalu, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi masih hilang, dikhuatiri tertimbus.
Mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43.
#runtuhan kuari #simpang pulai #operasi kesan mangsa #bomba
;