Runtuhan kuari: 'Menantu saya orang baik'
Amirrul Rabbani
Mac 16, 2022 14:39 MYT
Mac 16, 2022 14:39 MYT
IPOH: “Saya tidak kisah menempuh perjalanan 20 kilometer (km) dari rumah ke sini, asalkan saya dapat melihat dan menjadi yang terawal mengetahui tentang perjalanan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menantu saya.”
Itu luah Bah Kim Bah Kipak, 63, bapa mertua kepada Itam Bah Lasoh, 43, mangsa runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai dekat sini dalam insiden pada Selasa lalu.
Kata Bah Kim, dia bersama anaknya, Wak Uda Bah Kim, 41, yang juga isteri kepada mangsa setiap hari akan ke lokasi kejadian bagi menantikan perkembangan terkini operasi SAR Itam.
Menurutnya, menantu kesayangannya itu disifatkan sebagai seorang yang peramah dan periang selain Itam ada merancang untuk menyiapkan sebuah rumah baharu yang dapat didiami mereka sekeluarga di Kampung Jelintoh, Gopeng.
“Anak saya hari-hari hendak datang ke sini, untuk melihat operasi SAR suami dia. Saya juga mahu datang kerana saya sangat sayangkan menantu saya itu.
“Dia orang yang baik, malah sangup bekerja keras demi menyara kami sekeluarga.
“Sebelum ini dia ada merancang untuk menyiapkan sebuah rumah baharu untuk kami semua yang telah dibina sejak tahun lepas.
“Sekarang ini saya tak tahu macam mana nak siapkan rumah itu. Dia sudah belanjakan hampir RM5,000 untuk rumah baharu itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Tambah Bah Kim, sebelum ini dia juga pernah bekerja di tapak kuari berhampiran namun menantunya itu meminta agar dia berhenti pada dua tahun lalu dan menanggung segala wang perbelanjaan hariannya.
Katanya lagi, walaupun ada yang menasihatkan agar mereka sekeluarga dapat duduk sahaja di rumah namun Bah Kim berkata hatinya tidak senang, sebaliknya tetap mahu ke lokasi kejadian.
“Boleh dikatakan saya dan anak memang tidak mampu untuk melelapkan mata setiap malam. Namun, sejak kejadian Selasa lalu, setiap malam kira-kira 20 ahli keluarga kami akan berkumpul di rumah.
“Kami buat makan-makan dan bersembang-sembang, adakala sampai lewat pagi. Ini juga sebagai cara untuk temankan anak saya. Saya bimbang anak saya berasa sunyi mengenangkan suaminya,” ujarnya.
Sementara itu, Wak Uda berkata kehilangan suami tercinta lebih seminggu amat dirasai dirinya dan juga empat anaknya berusia dua hingga 15 tahun.
Katanya dia tidak membawa anak-anaknya sekali ke lokasi SAR kerana bimbang kesihatan mereka terganggu atas faktor cuaca yang adakalanya hujan dan panas.
“Apabila balik ke rumah, anak yang paling bongsu akan datang dan peluk kaki saya. Saya merasakan dia rindu akan ayahnya.
“Perasaan sedih itu memang ada, akan tetapi saya harus kuat demi anak-anak dan semua yang mendoakan suami saya. Apa juga keadaan saya akan hadapi dengan reda,” katanya dengan nada sebak.
Mereka terdahulu menerima sumbangan tunai dan kotak makanan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang bertujuan untuk meringankan beban dan nasib yang menimpa mereka sekeluarga.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi Selasa lalu, selain Itam, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 turut dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan kuari itu.