Runtuhan kuari: Letupan kecil untuk pecah batu
Abd Razak Mohd Ali
Mac 20, 2022 15:13 MYT
Mac 20, 2022 15:13 MYT
IPOH: Letupan kecil dilakukan bagi memecahkan batu kuari yang dipercayai menghempap dua mangsa dan jentera jengkaut di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kerja-kerja itu akan dilakukan pihak syarikat kuari.
Katanya, operasi hari ke-13 mencari mangsa yang dikhuatiri tertimbus masih diteruskan dengan membuat pemantauan bagi kerja-kerja pengalihan batu.
“Dua buah jentera jengkaut digunakan untuk penugasan pembersihan di lokasi mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi Selasa minggu lalu, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua masih hilang, dikhuatiri tertimbus.
Mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43.
Dua lagi mangsa, Mohd Razli Suhaimi, 35 mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.