Runtuhan kuari: JBPM guna khidmat K9, cuba kesan seorang lagi mangsa
Abd Razak Mohd Ali
September 20, 2022 16:52 MYT
September 20, 2022 16:52 MYT
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) bagi mencari seorang lagi pekerja kuari yang dikhuatiri masih tertimbus di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata operasi itu dijalankan susulan penemuan cebisan tulang, baju serta bangkai jengkaut yang ditemukan pagi tadi.
Katanya pihaknya telah menerima maklumat berhubung penemuan bangkai jengkaut itu pada jam 10.20 pagi selepas ia ditemukan pekerja kuari sebelum itu.
“Setibanya di lokasi, memang terdapat bangkai jengkaut dan kerja-kerja menggali runtuhan untuk membawa keluar bangkai jengkaut itu dijalankan.
“Ketika kerja-kerja itu dijalankan, pihak bomba menemukan sisa tulang dan pakaian yang dipercayai milik mangsa berhampiran bangkai jengkaut itu.
“Kita meneruskan operasi mencari mangsa kedua yang mana strategi pencarian hari ini akan melibatkan khidmat dua ekor anjing K9 yang kita dapatkan dari Kuala Lumpur.
“Operasi mencari mangsa kedua akan dijalankan selepas kerja-kerja letupan dijalankan bagi memecahkan bongkah batu kepada saiz yang lebih kecil bagi memudahkan pergerakan pihak penyelamat,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini pada Selasa.
Tambahnya Muhamad Shahrizal kerja-kerja pencarian mangsa kedua itu dilakukan kira-kira 25 meter dari titik pencarian yang dijalankan oleh pihak pasukan mencari dan menyelamat sebelum ini.
Katanya lagi, operasi tersebut melibatkan seramai 14 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai serta Operasi JBPM Perak.
“Operasi akan dilakukan pada hari ini dan bergantung kepada keadaan cuaca. Sekiranya ia tidak mengizinkan, kemungkinan operasi akan disambung semula pada esok,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Katanya ia bagi memberi laluan kepada proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti identiti mangsa.
Tambah beliau Operasi SAR yang dijalankan hari ini diketuai Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan dengan dibantu JBPM serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak.
Pada 8 Mac lalu, insiden runtuhan batu di tapak kuari di situ mengakibatkan dua mangsa tertimbus.
Mereka dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.