Runtuhan gudang: Mangsa tiada caruman Perkeso, KSM akan ambil tindakan terhadap majikan

Kenyataan Media
November 30, 2023 16:09 MYT
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, pihaknya menerusi Perkeso akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing tersebut.
KUALA LUMPUR: Lima daripada sembilan pekerja asing yang terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung di Pulau Pinang tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, pihaknya menerusi Perkeso akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing tersebut.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata kegagalan majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja asing itu jelas melanggar Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka,” katanya.
Tambah beliau, hasil semakan terhadap empat pekerja asing, masing-masing dua yang maut dan dua mengalami cedera parah didapati mempunyai rekod pendaftaran dengan Perkeso.
Begitupun, tiada caruman dibuat sejak mereka diambil bekerja antara tahun 2020 hingga Julai 2023.
Seorang lagi pekerja asing yang maut pula tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran dan caruman dengan Perkeso.
“Sehingga kini, kementerian menerusi Perkeso masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan.
“Ia bagi mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus di bawah serpihan runtuhan di lokasi kejadian,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan tiga buruh binaan disahkan maut, dua cedera parah manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang berhampiran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung, Bayan Lepas.
Kesemua mangsa merupakan warganegara Bangladesh.
#bangunan runtuh #Bangladesh #perkeso #pekerja asing
;