Runtuhan batu kuari: Taburan hujan tinggi dipercayai punca runtuhan

Abd Razak Mohd Ali
Mac 8, 2022 21:40 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, Mohd Razli Suhaimi, 35 mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan. - Gambar/ Bernama
IPOH: Kekerapan hujan dengan taburan tinggi sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi antara punca kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, perubahan cuaca tidak menentu ketika ini, serta keadaan struktur batu kapur di kawasan itu dipercayai menjadi faktor kejadian itu berlaku.
"Batu kapur mengandungi kalsium karbonat yang mudah larut apabila terkena air, sekali gus menyebabkan terbentuk rongga-rongga pada batuan berkenaan.
"Ia menyebabkan struktur batuan menjadi lemah dan berlakunya kegagalan muka cerun seterusnya menyebabkan batu runtuh," katanya di sini, hari ini.
Tragedi | Bukit Batu Kapur runtuh, dua selamat, dua masih hilang
BACA: Runtuhan batu kuari: Pergerakan tanah dikhuatiri masih berlaku
Ahmad Zukni berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlaku lagi pergerakan tanah di lokasi kejadian.
"Berdasarkan kepada keadaan cuaca yang kerap hujan, mungkin akan berlaku lagi runtuhan batuan tersebut," ujarnya.
Terdahulu, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, ditangguhkan selepas berlakunya pergerakan tanah di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, Mohd Razli Suhaimi, 35 mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.
#runtuhan kuari #punca runtuhan #taburan hujan tinggi #simpang pulai
;