Runtuhan batu kuari: Operasi mencari dua mangsa tertimbus diteruskan
Amirrul Rabbani
Mac 11, 2022 13:57 MYT
Mac 11, 2022 13:57 MYT
IPOH: Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat sini masih diteruskan hari ini.
Operasi yang memasuki hari keempat itu mula diteruskan pada jam 9 pagi tadi di lokasi kejadian.
Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata operasi melibatkan kekuatan seramai 63 orang anggota keselamatan.
Mereka terdiri daripada pihak JBPM , Polis Diraja Malaysia (PDRM),Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dibantu oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pelbagai agensi lain.
“Operasi hari ini masih bertumpu dalam excavation atau mengalihkan bongkah-bongkah batu besar dengan menitikberatkan faktor keselamatan risiko batu gelongsor dan faktor cuaca.
“Kali terakhir direkodkan terdapat batu bergelongsor adalah pada jam 4 pagi pagi semalam dengan skala kecil,” katanya dalam satu kenyataan, dekat sini, pada Jumaat.
Menurutnya lagi, operasi yang dijalankan pada hari ini juga akan dilakukan secara berterusan berikutan faktor cuaca yang baik.
Selain itu jelas beliau, setakat ini juga tiada sebarang tanda-tanda gelongsoran batu dari struktur bukit yang telah dikenal pasti oleh JMG sebagai struktur yang lemah.
“Sekiranya operasi berjalan lancar, Pasukan Bomba akan mengatur gerak Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan atau mengenalpasti lokasi sebenar mangsa yang terperangkap.
“Pasukan bersedia dan pemantauan oleh Pasukan Khas Bomba Unit STORM dan SMART dibantu jentera berat akan melakukan kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mangsa sekiranya dikenal pasti lokasi berkenaan,” katanya lagi.
Semalam media melaporkan, operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan berkenaan dihentikan sementara susulan pihak penyelamat mengesan terdapat pergerakan tanah dan runtuhan kecil di kawasan tersebut.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi Selasa, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Dua lagi mangsa, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.