Runtuhan batu kuari: Masih berlaku pergerakan tanah, runtuhan kecil

Abd Razak Mohd Ali
Mac 10, 2022 12:30 MYT
Keadaan diburukkan lagi dengan hujan yang turun di sebelah pagi, menyebabkan berlaku takungan air. - Foto fail
IPOH: Memasuki hari ketiga kejadian runtuhan batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai, dekat sini, pihak penyelamat mengesan masih terdapat pergerakan tanah dan runtuhan kecil di kawasan berkenaan.
Keadaan diburukkan lagi dengan hujan yang turun di sebelah pagi, menyebabkan berlaku takungan air di bahagian atas bukit.
Sehubungan itu, kerja-kerja menyelamat dua mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan, dihentikan sementara.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi hari ketiga telah dimulakan pada jam 8 pagi.
“Pergerakan tanah dan runtuhan kecil masih berterusan sehingga ke saat ini.
“Pihak penyelamat masih menunggu runtuhan kecil berhenti kerana setiap pergerakan tanah adalah petanda runtuhan besar akan berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu, penilaian semula akan dibuat jam 1 tengahari ini oleh pasukan penyelamat bagi menilai strategi dan taktikal operasi yang akan dilakukan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi Selasa, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua masih hilang, dikhuatiri tertimbus.
Mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43.
Dua lagi mangsa, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.
#runtuhan #kuari #pergerakan tanah #tertimbus
;