Rundingan Selatan Thailand catat kemajuan, PEDP dan BRN terima pelan tindakan perdamaian

Bernama
Februari 7, 2024 23:38 MYT
Zulkifli memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan memastikan ketelusan dan keterangkuman mesyuarat itu bagi memenuhi aspirasi pihak berkepentingan iaitu rakyat Selatan Thailand. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) pada dasarnya menerima Pelan Komprehensif Bersama ke arah Keamanan (JCPP) yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Fasilitator Malaysia untuk proses dialog damai di Selatan Thailand Jen (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan bahawa pihak Thailand yang diwakili oleh Panel Dialog Keamanan untuk Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) menyatakan kesediaan untuk memulakan langkah perlu untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk keamanan.
"Untuk itu, usaha bagi memupuk persekitaran seperti itu akan dibincangkan oleh pasukan teknikal kedua-dua pihak pada Februari dan Mac," katanya semasa sidang media pada Mesyuarat Proses Dialog Keamanan Pusingan ketujuh yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Zulkifli menekankan bahawa mesyuarat dari 6 hingga 7 Feb itu dijalankan dalam suasana kerjasama, dengan kedua-dua pihak menunjukkan komitmen untuk mencapai JCPP, satu hala tuju penting dalam rundingan mereka untuk perdamaian di wilayah sempadan selatan Thailand.
PEDP diketuai Chatchai Bangchaud manakala delegasi BRN oleh Anas Abdulrahman.
Mesyuarat itu turut dipantau oleh pemerhati antarabangsa bagi memastikan proses dialog damai mencatat kemajuan.
Zulkifli memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan memastikan ketelusan dan keterangkuman mesyuarat itu bagi memenuhi aspirasi pihak berkepentingan iaitu rakyat Selatan Thailand.
Kemajuan dalam proses dialog damai, khususnya pembangunan JCPP, membawa harapan untuk menyelesaikan konflik serantau yang berterusan sejak 2004 yang meragut lebih 7,000 nyawa, menurut statistik kumpulan pemantau bebas Deep South Watch.
-- BERNAMA
#JCPP #proses dialog #pemantau bebas #pihak berkepentingan
;